PETALING JAYA – Dalam sesebuah hubungan suami isteri, komunikasi adalah elemen penting bagi memastikan setiap masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan cara terbaik dan segera sebelum menjadi lebih parah.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Twitter, Atikah memuat naik ciapan memaparkan tangkap layar kiriman WhatsApp daripada suaminya yang ingin mengadakan sesi luahan perasaan bersamanya telah berjaya mendapat lebih 18,000 ‘retweet’ daripada pengguna lain.
Apa yang menarik perhatian ramai, kiriman mesej tersebut dilihat seperti undangan ke sebuah majlis rasmi apabila suaminya turut menyediakan atur cara program serta menyenaraikan perkara-perkara penting untuk dibincangkan.
“Jemputan ke perbincangan hati ke hati, tarikh 3 Mac 2022, masa selepas makan dan Altaf (anak) tidur dan tempat di bilik belajar.
“Agenda luahan hati untuk perbaiki diri masing-masing dan membincangkan perkara semasa yang berlaku seperti kerja, kewangan dan tahap emosi diri,” tulis suaminya.
Katanya, dia juga agak terkejut apabila secara tiba-tiba suaminya mengirimkan pesanan dalam bentuk formal tersebut kerana kebiasaannya mereka lebih banyak berbincang di atas katil sebelum tidur atau selepas solat.
“Biasa tidak ada formal macam ini, santai dengan cara ‘pillowtalk atau lepas solat jemaah. Bila suami hantar macam ini, terus saya ambil tangkap layar kirimannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! tadi.
Jelas Atikah, tujuannya berkongsi perkara itu ke media sosial adalah untuk memberitahu kepada pasangan di luar sana mengenai realiti dalam berumah tangga.
“Tujuan saya muat naik ciapan itu adalah untuk beritahu yang perkahwinan tak setiap masa indah, sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri.
“Cara komunikasi antara pasangan itu berbeza, tak semestinya perlu ikut cara macam kami dan yang penting masalah yang timbul dapat diselesaikan,” ujarnya
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai bersetuju mengatakan kunci kebahagiaan sesebuah rumah tangga adalah melalui komunikasi yang baik antara pasangan.
“Setuju, komunikasi itu penting dalam perkahwinan, kalau komunikasi gagal berjalan dengan baik, masalah yang timbul akan lebih teruk sebab itu sampai berlaku penceraian, tiada perbincangan antara suami isteri,” ciap Syazreena. – KOSMO! ONLINE