PUTRAJAYA – Harga runcit petrol RON97 naik lagi minggu ini iaitu sebanyak 30 sen seliter iaitu daripada RM3.45 kepada RM3.75 seliter.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON95 dan diesel pula kekal masing-masing pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.
Katanya, pengekalan harga tersebut adalah bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global.
“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE