JOHOR BAHRU – Berbaki dua hari lagi tempoh berkempen, kesemua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kecuali Barisan Nasional (BN) masih gagal menyatakan kepada masyarakat siapakah calon Menteri Besar mereka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin berkata, Perikatan Nasional (PN) memilih untuk sekadar mengangkat pemimpin nasional sebagai ‘poster boy’ akibat ketiadaan calon layak di peringkat negeri.
“Manakala, Pakatan Harapan (PH) seperti sudah berputus asa dan sedar bahawa mereka akan mencatat prestasi buruk kali ini.
“Jadi, tidak guna untuk bertelagah dan merebut jawatan Menteri Besar. Tambahan pula Parti Amanah Negara (Amanah) sedar bahawa sebarang calon Menteri Besar yang mahu mereka angkat haruslah dipersetujui dan diredai DAP dan ini bukan sesuatu yang mudah dicapai,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Ujar beliau, parti baharu seperti Muda, Warisan, PBM dan serpihan-serpihan parti lain pula sememangnya dari awal sudah jelas bahawa mereka hadir sekadar meramai dan memeriah temasya demokrasi ini.
“Malangnya, saat ramai beranggapan PKR akan membuat ‘reformasi’ dan membawa pendekatan baharu dan segar, wujud desas-desus bahawa parti itu berkemungkinan besar akan mengulangi kesilapan dalam PRN Melaka iaitu melantik dan mengangkat katak politik sebagai calon Menteri Besar,” katanya.
Katanya, jika ini benar, bermakna masa depan Johor mahu disandarkan Dr. Maszlee Malik.
“Saya harap, siapa pun calon Menteri Besar Johor, rakyat Johor akan memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Ir. Hasni Mohamad,” katanya.
Tambahnya, Johor mesti ditadbir Menteri Besar terbaik dan BN letak calon terbaik demi kestabilan masa depan negeri itu.