fbpx

Gelembung buat atlet ke Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MSN akan menyediakan gelembung sukan bagi melindungi Kontinjen Malaysia sebelum berlepas bersaing pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, Mei depan.

BERIKUTAN kebimbangan akibat serangan varian baharu Co­vid-19 Omicron, Majlis Sukan Negara (MSN) melakukan persiapan terbaik dengan menyediakan gelembung sukan bagi melindungi kontinjen kebangsaan sebelum berlepas ke Sukan SEA Vietnam, Mei depan.

Ketika ini, lebih daripada 700 atlet dan pegawai akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) tersebut yang mana mereka akan diasingkan dalam tempoh dua minggu sebelum dibenarkan menyertai temasya dwitahunan itu pada 12 hingga 23 Mei nanti.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, selain SOP gelembungan sukan, pihaknya turut berharap ujian doping turut tidak terlepas pandang.

“Mengenai protokol SOP menjelang Sukan SEA nanti, kita berharap kita tidak mewujudkan apa-apa kluster sebab kontinjen kita ramai akan berlepas ke Hanoi.

“Selain SOP Covid-19, kita juga perlu memikirkan soal ujian do­ping kepada atlet-atlet kita terutama melibatkan sukan tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Norza turut menegaskan, jumlah atlet negara yang akan ke Sukan SEA turut bertambah memandangkan beberapa persatuan dijangka menyerahkan senarai akhir sebelum 12 Mac ini.

“Ketika ini, seramai 584 atlet daripada 37 sukan yang sudah menghantar senarai nama bagi mewakili negara ke temasya sukan edisi ke-31 itu dan jumlah tersebut akan bertambah.

“Bagi sukan olahraga dan renang, kedua-duanya baru sahaja tamat menganjurkan Kejohanan Terbuka Malaysia pada Ahad lalu.

“Jadi, kami masih menunggu senarai nama terkini yang akan diberikan dalam masa terdekat.

“Begitu juga dengan e-Sukan, kami juga sedang menunggu senarai nama akhir daripada mereka untuk penyertaan ke Sukan SEA,” katanya ketika ditemui selepas selesai menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali ke-4 Sesi 2021/2025 di Wisma MOM semalam.

Dalam perkembangan sama, MOM turut melantik dua Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA iaitu Presiden Persekutuan Snooker Malaysia, Melvin Chia dan Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia, Afriati Ariani Nasril bagi membantu pengurusan pada temasya itu nanti.

“Kita telah melantik mereka bagi membantu Ketua Kontinjen, Datuk Nur Azmi Ahmad. MOM menugaskan mereka untuk memastikan hal keselamatan dan kesihatan skuad negara sentiasa dalam keadaan baik memandangkan situasi Covid-19 di Vietnam mungkin meningkat.” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI