PETALING JAYA – EP Manufacturing Bhd (EPMB) telah menandatangani memorandum perjanjian (MOA) dengan Sharkgulf Technologies Group Limited (Sharkgulf) dan CIS Pride Silver Rock Fund (CIS).
Sharkgulf berpangkalan dari China adalah pengeluar kenderaan elektrik dua roda berjenama blueshark.
MOA tersebut adalah untuk memulakan perkongsian strategik baharu merealisasikan kepelbagaian dalam perniagaan bagi pengeluaran Kenderaan Elektrik (EV) generasi akan datang, dengan memanfaatkan agenda hijau Kerajaan China serta pembiayaan dana global.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diadakan di Pusat Perdagangan & Pelaburan Malaysia di Shanghai, baru-baru ini.
Ia telah disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Robotik dan IoT Automotif Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang berpangkalan di Shanghai, Steven Cheng Seng Hock.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, melalui perjanjian tersebut, Kumpulan bakal menceburi bidang pembuatan, pemasangan dan pengedaran EV dua roda untuk Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain.
Sehubungan itu, Kumpulan juga akan membangunkan kilang pembuatan dan pusat jualan seta pengedaran di Malaysia untuk EV dua roda berjenama Blueshark.
“EPMB juga akan menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), yang mana akan berkongsi pengetahuan teknikal dan sumber kepada Gigafactory Sharkgulf di Kawasan Baru Pantai Barat Qingdao, China,” katanya dalam kenyataan.
CIS akan menjadi pembiaya utama untuk usaha niaga baharu ini.
Hamidon menerangkan, usaha ini akan membuka lembaran baharu kepada langkah Kumpulan untuk mempelbagaikan serta melengkapkan perniagaan kami sekarang.
“Perkongsian R&D antara EPMB dan Sharkgulf adalah selaras dengan perkembangan pantas dalam arena Internet of Things (IoT) dan meningkatkan rantaian nilai.
“Pada masa yang sama, ia akan membantu Kumpulan menangani struktur kos antarabangsa.
“Di EPMB, kami mengakui bahawa dunia sedang berubah dan kami mesti berkembang seiring dengan perubahan pantas untuk kekal relevan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE