PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang bakal berlaku di sembilan negeri sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam laporannya di Facebook memaklumkan antara negeri terlibat adalah Kedah yang merangkumi kawasan Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Sik dan Bandar Baharu serta beberapa daerah di Pulau Pinang.
“Ia termasuklah sekitar Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Manakala di Perak kawasan yang terlibat adalah Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, hujan lebat serta ribut petir sedang tertumpu di beberapa kawasan sekitar negeri Kelantan seperti Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.
“Bagi negeri Pahang, antara kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk tersebut adalah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Temerloh serta beberapa daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut meramalkan hujan lebat serta ribut petir bakal melanda di keseluruhan Kuala Lumpur dan beberapa kawasan lain di Johor serta Sarawak malam ini.
Sementara itu, dalam kenyataan lain yang dikeluarkan, MetMalaysia menjangkakan negeri Sabah bakal berdepan dengan situasi hujan berterusan sehingga esok.
Oleh itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk kekal berwaspada dan tidak melakukan aktiviti laut buat sementara waktu ekoran cuaca yang tidak menentu ini. – KOSMO! ONLINE