PUTRAJAYA – Kes sembuh daripada Covid-19 semalam mencatatkan sebanyak 29,035 kes, dengan jumlah keseluruhan kumulatif kes sembuh sebanyak 3,340,889 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan baharu Covid-19 semalam mencatatkan 31,490 kes dengan 175 kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, mengikut pecahan, kategori satu sebanyak 12,692 kes (40.30 peratus), kategori dua sebanyak 18,623 kes (59.14 peratus), kategori tiga sebanyak 62 kes (0.20 peratus), kategori empat sebanyak 52 kes (0.17 peratus) dan kategori lima 61 kes (0.19 peratus).
“Daripada 175 kes kategori tiga, empat dan lima, 39 kes (22.29 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 90 kes (51.43 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 46 kes (26.29 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 107 kes (61.14 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 43 kes (24.57 peratus) mempunyai komorbid,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sebanyak 373 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala, 223 kes memerlukan bantuan pernafasan. – KOSMO! ONLINE