BERA – Tarikh 8 Mac 2014 menjadi detik yang tidak pernah dilupakan Selamat Omar, 68, yang ‘kehilangan’ anak tersayang, Khairul Amri selepas menaiki pesawat malang MH370 milik Malaysia Airlines.
Selamat yang menetap di Felda Bukit Mendi, di sini berkata, kehilangan pesawat itu yang masih menjadi misteri sehingga kini sememangnya tidak dapat dilupakan.
Katanya, hanya doa dan gambar menjadi pengubat rindu selepas kira-kira sembilan tahun peristiwa tersebut.
“Sampai sekarang saya tidak lupa tarikh ini yang mana sembilan tahun lalu saya amat terkejut selepas menerima telefon daripada Malaysia Airlines dan saya bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya masih menaruh harapan agar ditemukan kerana bagi orang Islam ada ‘kuburnya’ tetapi sampai sekarang tidak tahu dimana dan hanya doa yang mampu saya dan ahli keluarga lain lakukan,” katanya semalam.
Mohd. Khairul Amri yang merupakan seorang jurutera bersama 238 anak kapal dan penumpang pesawat MH370 berlepas dari KLIA pada 8 Mac 2014 bagi perjalanan ke Beijing, China.
Katanya, kedatangan Ramadan lagi membuatkan kehilangan Khairul Amri terasa, memandangkan sebelum ini dia sering pulang untuk berbuka puasa bersama.
Mengulas mengenai usaha pencarian semula pesawat itu menggunakan teknologi baharu, katanya, meskipun masih tidak berputus asa, dia dan keluarga tidak menaruh harapan besar selepas pelbagai usaha dilakukan sebelum ini gagal merungkai misteri kehilangan berkenaan.
“Kami setuju sangat pencarian semula dilakukan tetapi tidak yakin seratus peratus kerana sudah lama ia hilang dan pelbagai usaha tidak berjaya menemukan apa-apa petanda,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE