HULU LANGAT – Seorang warga emas maut gara-gara dihempap pokok tumbang ketika sedang memancing dalam kejadian yang berlaku di Loji Air Sungai Langat petang ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.00 petang ini.
“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian kita mendapati mangsa seorang lelaki berusia 60-an dalam keadaan tidak sedarkan diri dihempap pokok tumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, bomba berjaya mengalihkan dahan pokok yang menimpa mangsa namun pegawai perubatan mengesahkan lelaki tersebut telah mati di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE