OLEH LIYANA RAMLI
IPOH – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah wanita bekerjaya berdepan cabaran gabungan tekanan di tempat kerja dan di rumah.
Baginda bertitah, selain memberikan 110 peratus di tempat kerja untuk memacu organisasi, mereka terus memenuhi peranan harian sebagai ibu, isteri, guru, orang kepercayaan, penghibur dan penyembuh.
“Wanita umpama kain yang mengikat keluarga untuk terus bersama. Keupayaan mereka untuk memainkan pelbagai peranan ini dengan sempurna adalah asas yang menyokong institusi keluarga,” titah baginda.
Tuanku Zara bertitah dalam ucapan sempena Hari Wanita Antarabangsa di Auditorium Kompleks Rawatan Harian Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.
Turut diadakan pada majlis sama ialah Simposium Wanita dalam Perubatan 2022 anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Perak
Baginda bertitah, satu perkara yang dapat dipelajari ialah masa depan boleh menjadi lebih cerah jika kita menangani ketidaksamaan secara berterusan.
“Ini termasuk kepada mereka yang menjadi penyokong kepada wanita dalam bidang perubatan dan lain-lain. Perubatan adalah profesion yang memerlukan empati yang besar untuk memastikan pesakit berasa dijaga dengan baik,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE