PETALING JAYA – Isu berkenaan pembayaran gaji pemain bola sepak yang tidak dibayar di negara ini nampaknya masih lagi belum selesai.
Banyak pasukan bola sepak yang dulunya merupakan pasukan hebat dengan merangkul beberapa kejayaan dan kejuaraan nampaknya dipandang sepi.
Terdapat banyak pasukan bola sepak negeri yang pernah terpalit isu gaji sebelum ini antaranya Kelantan serta Perlis, namun terkini pula didakwa adalah Perak.
Perak merupakan satu pasukan yang cukup disegani sebelum ini kerana kehebatan mereka dalam kancah bola sepak negara.
Punca rata-rata masalah ini berlaku adalah sikap pengurusan pasukan yang langsung tidak memperdulikan nasib pemain yang berjuang untuk pasukan masing-masing.
Satu perkongsian klip video di Facebook Silver Retro ternyata amat menyedihkan apabila pemain yang didakwa dari pasukan Perak dilihat makan sup kosong beramai-ramai selepas sesi latihan.
Klip video berdurasi 47 saat itu ternyata dapat dibayangkan berkenaan kesusahan yang dialami oleh para pemain, namun semangat dalam bersukan tetap juga dilakukan oleh mereka.
Ternyata orang ramai serta penyokong pasukan itu yang menyaksikan klip tersebut sedih dan kesal terhadap apa yang berlaku terhadap pemain pasukan kesayangan mereka.
“Kita perlu bantu budak-budak pemain ini dengan memenuhi stadium, sedih bila lihat keadaan pemain yang bersungguh ni.
“Masing-masing muda lagi, banyak lagi yang perlu mereka tempuh, semoga dipermudahkan urusan mereka, ” jelas Affendy Malik.
“Mana pihak pengurusan kalau betul video ni. Sedih tengok keadaan macam ni. Harap ada yang bantu mereka, ” kata Afiq Hussien. – KOSMO! ONLINE.