fbpx

Rotan anak murid, ustaz diperintah jalani penjara 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang ustaz yang didapati bersalah mencederakan kaki bekas anak muridnya berusia 11 tahun dalam kejadian lima tahun lalu kelihatan terkedu selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini, memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan serta-merta dan denda RM2,000.

Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk P.Ravinthran dan Datuk Hashim Hamzah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan selaku perayu untuk mengembalikan hukuman asal yang dijatuhkan terhadap Muhammad Adib Abd. Halim, 28, sebagai responden.

Pada 16 November 2018, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda maksimum RM2,000 terhadap Muhammad Adib, selepas dia didapati bersalah mencederakan mangsa pada kaki dengan menggunakan rotan.

Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun pada 26 Jun 2019 Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Abdul Halim Aman menggantikan hukuman penjara enam bulan terhadap Muhammad Adib kepada penjara sehari dan denda RM2,000 dinaikkan kepada RM4,000.

Terdahulu ketika membaca penghakiman, hakim Hanipah berkata pendakwaan selaku perayu telah merayu terhadap keseluruhan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mendapati mengikut rekod rayuan adalah jelas bahawa Mahkamah Majistret mengenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang.

“Faktor-faktor yang telah diambil kira oleh majistret dalam menentukan hukuman ke atas responden adalah antara lain tahap kecederaan yang dialami oleh mangsa sehingga menyebabkan mangsa dimasukkan ke dalam hospital selama dua hari.

“Mahkamah ini juga mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah mengganggu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret dan tidak menyentuh langsung apakah kesilapan yang dibuat oleh Majistret dan prinsip hukuman yang digunapakai.

“Oleh itu, keputusan hakim Mahkamah Tinggi wajar campur tangan oleh mahkamah ini. Dengan ini, hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan dan mengembalikan hukuman oleh Mahkamah Majistret,” kata hakim itu lagi yang turut memaklumkan hukuman penjara itu berkuatkuasa serta-merta selain wang lebihan denda yang dibayar dipulangkan semula.

Semasa prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Shazwani Izyan Mohd. Akhir manakala Muhammad Adib diwakili peguam Khairul Amin Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Adib didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun di bahagian kaki kiri dan kanannya dalam kelas di sebuah sekolah rendah di Bandar Seri Putra, Kajang , di sini, pukul 2.25 petang, pada 16 Ogos 2017.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI