LONDON – Polis Britain menyita sebuah kereta mewah jenama McLaren milik seorang pesohor media sosial kerana dilaporkan tidak memiliki perlindungan insurans, lapor akhbar The Sun semalam.
Pooyan Mokhtari, 31, yang mempunyai hampir enam juta pengikut Instagram terpaksa berputih mata apabila melihat kereta McLaren Senna miliknya dirampas polis selepas ditahan di Dover pada 25 Februari lalu.
Pesohor media sosial bergelar jutawan dari Iran itu dikatakan mempunyai nilai kekayaan sehingga £10 juta (RM54.8 juta). Dia mengakui ‘tidak dapat’ mengambil perlindungan insurans untuk kenderaan miliknya itu.
Keadaan kereta yang mampu mencapai kelajuan sehingga 334 kilometer sejam itu amat rendah sehingga memaksa pegawai polis untuk memandunya sendiri berbanding menggunakan khidmat trak tunda.
“Kereta McLaren tidak boleh diletakkan pada trak tunda kerana ia akan menyebabkan kerosakan bernilai beribu-ribu pound.
“Disebabkan itu, polis terpaksa memandunya ke pusat sitaan kereta di mana ia disimpan di situ selama lebih seminggu sebelum diambil semula oleh Pooyan,” kata seorang sumber.
Menurut laporan, Pooyan telah menghantar sebuah lori untuk mengangkut keretanya itu pada Ahad lepas dan membuat penghantaran ke Paris menggunakan kapal.
Dia kemudiannya bergambar bersama kereta itu di hadapan Menara Eiffel semalam. – AGENSI