JAKARTA – Seorang pengantin perempuan di Indonesia berdepan detik-detik memalukan apabila dia terjatuh ke atas jalan raya ketika diarak menggunakan tandu, lapor portal Wolipop semalam.
Lebih memalukan adalah suaminya tidak segera menyelamatkannya, sebaliknya terus leka merakam menggunakan telefon bimbit.
Menerusi satu kilp video yang dikongsikan di TikTok, pasangan pengantin yang berpakaian mengikut adat Jawa itu sedang diarak menggunakan sebuah tandu beroda.
Kedua-dua mereka berdiri di atas kenderaan itu dengan pengantin lelaki dilihat sedang leka merakam video menggunakan telefon bimbit.
Secara tiba-tiba, pengantin perempuan berkenaan gagal mengawal keseimbangan badan ketika tandu itu membelok di sebatang jalan lantas menyebabkannya terjatuh ke atas jalan raya.
Sebelum terjatuh, dia cuba mencapai tangan pengantin lelaki, namun suaminya dilihat tidak memberikan sebarang reaksi, malah hanya meneruskan rakaman videonya.
Seorang lelaki lain kemudian dilihat membantu pengantin tersebut sebelum pengantin lelaki turun ke bawah tandu untuk memeriksa keadaaan isterinya, hanya selepas beberapa ketika.
Video tersebut menjadi tular dengan netizen memberikan pelbagai komen.
“Ketika berkahwin pun masih sibuk bermain telefon bimbit,” kata seorang pengguna.
“Suaminya tidak menyelamatkan isterinya,” kata seorang lagi. – AGENSI