KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mengatakan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap kes rasuah yang dihadapi adalah penafian kosong dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Dalam hujahan bertulis yang difailkan pihak pendakwaan pada Jumaat lalu, pendakwaaan berkata, Rosmah dalam pembelaannya, mendakwa beliau adalah mangsa konspirasi yang menyebabkannya menghadapi pertuduhan di mahkamah.
Pada masa sama, Rosmah menafikan dakwaan bahawa beliau mengarahkan bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, untuk meminta rasuah bagi dirinya.
“Persoalannya, adakah Rizal mempunyai kedudukan yang cukup besar dari segi politik untuk membuat tuntutan itu bagi dirinya sendiri.
“Memandangkan tertuduh mempunyai kedudukan yang tinggi dan berdasarkan fakta bahawa dalam kata-katanya sendiri bahawa dia “tidur dengan PM”, adalah sangat tidak mungkin Rizal membuat tuntutan untuk dirinya sendiri,” kata pendakwaan.
Justeru pendakwaan menegaskan, pembelaan Rosmah gagal untuk menangkis anggapan niat rasuah melalui imbangan kebarangkalian.
Sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 5 April ini untuk pihak-pihak berhujah. – KOSMO! ONLINE