SHAH ALAM – Seorang pemandu lori muatan tanah nyaris maut apabila kenderaan dipandunya merempuh sebuah lori kontena di susur keluar Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) ke Jalan Kebun tengah hari tadi.
Dalam kejadian pukul 12.33 tengah hari itu, mangsa berusia 37 tahun dilaporkan tersepit pada bahagian pemandu sebaik kenderaannya merempuh lori kontena dari arah belakang.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.23 tengah hari dengan enam anggota termasik pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas tiba ke lokasi kejadian kira-kira seminit kemudian.
“Berdasarkan laporan awal, kejadian kemalangan berlaku melibatkan sebuah lori kontena dirempuh dari belakang oleh sebuah lori muatan tanah.
“Akibat rempuhan itu, pemandu lori muatan tanah terbabit tersepit pada bahagian pemandu dan anggota kita berjaya mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Norazam memberitahu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki kanan dan diserahkan kepada pihak ambulan untuk rawatan lanjut. -KOSMO! ONLINE