fbpx

Pasangan kekasih didakwa edar syabu lebih 260 kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu lebih 260 kilogram (kg) di sebuah kondominium Februari lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu Adam Tan Seng Tek, 30, yang merupakan seorang nelayan dan kekasihnya Nguyen Thi Kim Thanh ,30, yang merupakan wanita warga Vietnam selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Pengakuan tidak direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine (syabu) anggaran berat 260,580 gram (260.58 kg) di sebuah unit kondominum di Kiara Jalil di sini pukul 9.30 malam pada 24 Februari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya  G.Phulrani Kaur manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Kee Wei Lon dan Low Wei Loke.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada 28 Februari lalu, media melaporkan polis berjaya membongkar sindiket yang menjadikan kondominium sebagai tempat penyimpanan dadah terbongkar dalam serbuan di ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua serbuan sepasukan JSJN Kuala Lumpur itu bertindak menahan dua suspek terdiri seorang lelaki tempatan dan wanita Vietnam dengan rampasan dadah jenis syabu lebih 260 kg bernilai RM9.3 juta. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI