LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi bayangan untuk melakukan beberapa perubahan menjelang aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara menentang Inter Milan di Stadium Anfield awal pagi esok.
Pengendali dari Jerman itu berulang kali menjelaskan, jumlah pemain dalam pasukan sangat penting bagi memastikan pasukan sentiasa bersedia untuk menampilkan aksi terbaik.
Justeru, beliau enggan menggunakan kesebelasan utama yang sama dalam setiap perlawanan memandangkan ia mampu menjejaskan kualiti permainan atas faktor kepenatan.
“Kami mengharungi minggu yang sangat penting dan akan bertemu Inter pada saingan Liga Juara-Juara. Tidak mungkin saya turunkan kesebelasan utama yang sama dalam perlawanan itu.
“Sebab itulah saya sentiasa tekankan skuad besar sangat penting kerana ia beri peluang kepada kami untuk rehatkan sebahagian pemain dan beri peluang kepada pemain lain beraksi,” kata pengendali dari Jerman itu.
Liverpool pastinya turun dalam keadaan lebih selesa memandangkan mereka memiliki kelebihan dua gol selepas menang 2-0 ke atas Inter pada pertemuan pertama di San Siro bulan lalu.
“Saya harap kami boleh tampilkan aksi berkualiti pada perlawanan itu nanti. Apa yang pasti, saya perlu buat beberapa perubahan bagi memastikan pasukan sentiasa berada dalam kondisi terbaik,” ujar Klopp. –AGENSI