TANAH MERAH – Polis menahan seorang lelaki yang memiliki selaras senapang angin buatan sendiri dan tiga guni terung dipercayai dicuri dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Tunggal, Gual Ipoh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Zainuddin Md. Yusuf berkata, pihaknya menjalankan serbuan ke rumah tersebut kira-kira pukul 6.30 petang selepas menerima maklumat mengenai kes kecurian terung melibatkan kerugian hampir RM3,500.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, polis terus menahan lelaki berusia 27 tahun itu sebelum menemui sembilan butir bebola besi dan tiga biji dadah jenis pil kuda di dalam poket seluarnya.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek telah membawa kepada penemuan selaras senapang angin buatan sendiri bersama 12 butir lagi bebola besi dan satu tabung gas kompresor peti ais yang telah diubah suai menjadi pam angin.
“Selain itu, polis turut menjumpai tiga guni berisi buah terung di kawasan luar rumah suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, siasatan mendapati, suspek disyaki terlibat dalam kes kecurian buah terung di kawasan Bukit Durian di sini yang melibatkan kerugian hampir RM3,500.
Menurutnya, berdasarkan semakan, suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkait kes dadah.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE