PETALING JAYA – Jenis dan model kenderaan memainkan peranan penting kerana ia akan menentukan tahap keselamatan pemandu di jalan raya.
Bagaimanapun, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, sikap pemanduan juga merupakan faktor terpenting untuk menjamin keselamatan.
“Lebih-lebih lagi ia melibatkan trak pikap kerana pemandu perlu lebih berhati-hati untuk mengurangkan impak jika berlaku kemalangan.
“Kereta kecil lebih ringan dan akan mendatangkan impak lebih teruk jika dirempuh atau bertembung dengan trak pikap sama ada tersepit, cedera parah atau kematian,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, perlindungan trak pikap dan kereta biasa berbeza dari segi aspek keselamatan dan kualiti.
Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan kemalangan melibatkan trak pikap akan mengakibatkan mangsa rempuhan parah atau lebih teruk meninggal dunia berbanding pemandu kenderaan pacuan empat roda itu sendiri.
“Kenderaan itu lebih besar dan tinggi selain teguh yang menjadikan pemandu dan penumpangnya selamat.
“Apa yang boleh dilakukan ialah pemandu trak pikap supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya,” katanya. -KOSMO! ONLINE