PUTRAJAYA – Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) ke-138 hari ini memutuskan bahawa kerajaan negeri perlu memberikan keutamaan dan menyegerakan kelulusan permohonan pengambilan tanah untuk projek Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tanah projek yang melibatkan jajaran diluluskan secara perizaban, manakala tapak pusat operasi, pejabat atau stesen diluluskan secara pemberi milikan.
“Kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu halangan di atas tanah kerajaan negeri yang terlibat dengan projek-projek kerajaan berkepentingan awam.
“Pada masa sama, perbincangan lanjut akan diadakan berhubung kadar premium yang dikenakan untuk pemberi milikan dan cukai tanah oleh kerajaan negeri selaras dengan ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Tanah Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat MBKM secara bersemuka yang turut dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Menteri-Menteri Kabinet berkaitan di sini.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang akan mula dilaksanakan April ini.
Katanya, ia melibatkan 480 lokaliti rintis di seluruh negara yang membabitkan penglibatan semua pihak khususnya kerajaan negeri, dengan beberapa pendekatan akan diambil bagi pelaksanaannya.
Antaranya, menurut beliau, adalah menubuhkan Unit Kemiskinan khusus pada peringkat persekutuan, negeri dan daerah.
“Mewujudkan pangkalan data kemiskinan yang bersepadu dan berpusat, mempertingkat program pendekatan dari bawah ke atas melalui pendekatan keseluruhan negara dan melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, program yang bertujuan membasmi miskin tegar pada tahun 2025 itu akan bermula dengan fasa 1 melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara.
Katanya, Fasa 2 dan Fasa 3 akan bermula pada September dan Disember ini, manakala Fasa 4 sehingga fasa 6 akan dilaksanakan pada 2023.
“Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai strategi pengurusan bencana disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu akibat daripada pemanasan global melibatkan 11 penyelesaian jangka pendek dan sembilan penyelesaian jangka panjang,” katanya. -KOSMO! ONLINE