PETALING JAYA – Kempen Pajak Gadai-i anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) iaitu Gadai Emas Menang Emas (GEME) telah berjaya merekodkan peningkatan pertumbuhan keuntungan sebanyak 18.28 peratus pada tahun berakhir 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Kempen yang telah berlangsung selama 10 bulan, dari 1 Mac hingga 31 Disember 2021 itu telah mendapat sambutan yang baik, yang mana seramai 9,432 pelanggan melibatkan 15,011 akaun dan RM122.57 juta nilai pembiayaan baharu telah berjaya dikekalkan sepanjang tempoh kempen tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, menerusi perkhidmatan Pajak Gadai-i Bank Muamalat, pelanggan bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tunai segera, malah dapat menggunakan perkhidmatan ini bagi penyimpanan emas.
“Sekali gus mereka layak secara automatik menyertai kempen GEME, yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Tiga pelanggan bertuah telah terpilih sebagai pemenang hadiah utama dalam cabutan yang diadakan baru-baru ini.
Mereka ialah Rogayah Harun dari Telok Panglima Garang, Selangor berjaya memenangi hadiah utama berupa barang kemas pelbagai jenis bernilai RM100,000.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Mohd. Jaffar Julaihi dari Kuching, Sarawak yang menerima barang kemas pelbagai jenis bernilai RM75,000 dan hadiah ketiga berupa barang kemas emas pelbagai jenis bernilai RM25,000 dimenangi oleh Idayu Artikah Taib dari Ampang, Selangor.
Sementara itu, 100 pemenang bulanan telah menerima hadiah berupa satu gram kepingan emas 999 (24k) eksklusif dengan logo Bank Muamalat setiap seorang, melalui cabutan bulanan yang dibuat sepanjang tempoh kempen berlangsung.