SEMASA tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, 12 tenaga pengajar Giat Mara Negeri Sembilan telah menyahut cabaran untuk menyertai pertandingan Reka Cipta Giat Mara Custom Car Challenge (GM3C) 2021.
Konsep atau tema yang digariskan adalah inovasi kenderaan pengangkutan pelancongan, perniagaan, pengangkut barangan pertanian dan latihan bergerak.
Tempoh yang ditetapkan bagi menyiapkan projek tersebut adalah selama tiga bulan.
Selepas mengadakan perbincangan, mereka mendapat kata sepakat untuk memilih kategori inovasi kenderaan pengangkutan pelancongan untuk berentap dengan 13 Giat Mara di seluruh negara.
Ketua Projek, Tc. Maz Lizuardi Shahrizal Ab. Rahman, berkata, mereka bercadang membuat sebuah trak mini yang diinspirasikan daripada model Chevrolet 3100 diberi nama The Traveller’s.
Katanya, memandangkan kos yang diperuntukkan adalah sebanyak RM30,000, mereka memilih untuk menjalankan projek tersebut menggunakan dua buah Perodua Kancil 850 generasi kedua sebagai asas.
“Proses yang paling sukar adalah untuk reka bentuk semula bahagian hadapan agar nampak seperti sebuah kereta klasik yang ranggi.
“Untuk menyiapkan bahagian itu, ia mengambil masa paling lama kerana bagi mendapatkan reka bentuk yang sempurna, adakalanya perlu membuat proses yang sama dua hingga tiga kali,” katanya ketika ditemui K2 di Giat Mara Jempol baru-baru ini.
Tambahnya, bahagian belakang kenderaan itu boleh memuatkan sebuah motosikal Harley-Davidson Sportster, sesuai dengan konsep atau tema pilihan pasukan itu.
“The Traveller’s mempunyai treler yang boleh ditunda di belakang untuk membawa barang-barang dan turut dilengkapi tenaga solar.
“Untuk kelihatan lengkap, kami meletakkan sebuah basikal yang sudah kustom mirip sebuah motosikal Harley-Davidson klasik,” tambahnya.
Jelasnya, semua 12 orang tenaga pengajar yang terlibat memberikan komitmen penuh dari mula sehingga The Traveller’s siap sepenuhnya.
“Kami bersyukur kerana setiap seorang daripada kami mempunyai kepakaran masing-masing semasa proses menyiapkan kenderaan yang agak unik ini.
“Walaupun ada antaranya tidak pernah membuat kerja-kerja fiber dan sebagainya, semua memainkan peranan masing-masing untuk menyiapkannya dalam masa yang agak singkat,” jelasnya.