fbpx

Harga pakej berbuka puasa masih ‘murah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

TERLAMPAU pantas masa berlalu sehingga tidak menyedari bulan Ramadan akan disambut tidak kurang sebulan dari sekarang dan aura nur Ramadan mula dirasai apabila ramai yang sudah membuat persiapan serba ringkas untuk menyambutnya.

Lebih menarik kali ini, kita semua akan dapat bersahur dan berbuka puasa pada 1 Ramadan ini bersama ahli keluarga di kampung. Tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lock down atau sekatan merentas daerah dan negeri, meskipun kes positif Covid-19 terus meningkat tinggi saban hari.

Pulanglah si perantau kota, jenguklah mereka yang tersayang untuk bersama dalam bulan yang mulia ini, pastinya sambutan berpuasa dan Aidilfitri kali ini lebih meriah dan memberi kegembiraan kepada semua peringkat umur meraikannya.

Seperti biasa bulan Ramadan juga adalah bulan rezeki bagi pengusaha makanan dan minuman, pemilik restoran dan juga hotel, maklumlah sepanjang dua tahun lalu, pelbagai halangan dihadapi untuk membolehkan mereka mengaut keuntungan daripada jualan bufet berbuka puasa.

Rata-rata restoran dan hotel khususnya hotel popular yang menyediakan menu berbuka puasa di Lembah Klang telah mula mempromosikan pakej masing-masing dan digalakkan orang ramai membuat tempahan awal atau mudah disebut dengan early bird.

Antara yang terawal membuat promosi bufet Ramadan adalah World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dengan tema Aneka Selera Desa yang bakal membawa 300 jenis juadah setiap hari pada harga early bird RM108 seorang.

Harga umum yang ditawarkan adalah RM128 bersih untuk dewasa, RM75 untuk warga emas, manakala RM75 untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Banyak lagi hotel yang sudah mula mempromosikan pakej masing-masing mengikut tema, keceriaan dan kreativiti dan menu menyelerakan bertujuan untuk menarik perhatian pengunjung berbuka puasa di premis masing-masing.

Mengambil kira kos bahan mentah yang semakin meningkat, pastinya pihak pengurusan hotel dan restoran terpaksa mengambil inisiatif tersendiri untuk menyerap tekanan tersebut dengan tidak bersifat ‘kedekut’ hingga hilang rasa dan aroma serta hasil seni air tangan cef- cef berpengalaman.

Pengguna sedia maklum tentang impak pandemik yang memberi kesan negatif kepada kantung para usahawan, pemilik restoran dan juga hotel tetapi janganlah mereka tamak untuk menggandakan keuntungan hingga lupa untuk beramal dengan menjamu makanan yang enak-enak berbaloi dengan harga bufet yang dibayar oleh pelanggan.

Bagi pelanggan juga, janganlah bersikap tamak dan suka membazirkan makanan setiap kali memilih puluhan makanan yang membuat semuanya rambang mata.

Ini sikap tahunan yang sukar diubah setiap kali mereka berada di meja buffet. Sebenarnya masyarakat tidak pernah belajar dan serik daripada kesilapan lalu kerana aktiviti ini akan tetap berulang apabila tibanya bulan Ramadan.

Hargailah makanan dan minuman, hargailah peluang kita dapat berbuka puasa secara bufet di hotel mewah atau bajet atau di restoran dengan rasa syukur atas nikmat-Nya kerana kita semua dapat beribadat dan beramal di luar rumah tidak lagi  berkurung seperti dua tahun lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI