PETALING JAYA – Aktor muda, Nadhir Nasar mengakui terpaksa menolak tawaran beberapa drama atas alasan tidak mampu menggalas watak yang dirasakan lebih sesuai dibawakan pelakon lain.
Katanya, dia bukan besar kepala tetapi hanya membuang sikap mementingkan diri sendiri dengan menyambar segala tawaran supaya tidak merosakkan sesuatu naskah kerana mahu kekal lama dalam industri lakonan.
“Memang ada tawaran yang terpaksa saya tolak tapi tidaklah banyak mana, setakat satu dua saja tambahan pula saya pun masih bertatih dalam dunia lakonan.
“Kalau rasa saya tak boleh buat atau nampak pelakon lain lagi sesuai galas watak yang diajukan kepada saya, saya berterus terang saja dengan pihak yang beri tawaran tersebut.
“Saya pun tak mahu disalah anggap hanya kejar karya yang dikatakan bagus atau ingin bekerja dengan produksi tertentu sedangkan saya tidak kisah berlakon bawah mana-mana produksi.
“Bidang ini sudah jadi periuk nasi saya, jadi kena buat betul-betul supaya dapat bertahan. Jika main rembat saja tawaran yang datang nanti bukan saja hasil kerja saya jadi bahan kecaman, seluruh produksi pun kena tempiasnya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Nama pelakon berusia 24 tahun itu menjadi sebutan selepas watak dibawakan dalam drama bersiri, i-Tanggang: Mother Of All Lies, Syafiq Hambali meraih pujian ramai.
Meskipun baru dua tahun terjun dalam arena lakonan, dia disebut-sebut sebagai antara bintang pelapis yang mempunyai peluang cerah untuk terus mara.
Sebelum itu, Nadhir memulakan kerjaya lakonan menerusi drama Cerita Hantu Asrama, seterusnya membintangi drama Tercipta Satu Ikatan dan Projek: Anchor SPM.
Nadhir atau nama sebenarnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar turut menolak dakwaan menjadi anak emas Astro hingga disebut sebagai wajah stesen terbabit apabila sering menjadi pilihan saluran televisyen berbayar itu.
Kata anak muda yang dilahirkan di Michigan, Amerika Syarikat itu, dia memang ada menerima beberapa tawaran untuk saluran berkenaan, namun tidak menolak tawaran stesen televisyen lain.
“Saya akui, kebanyakan drama saya ditayangkan di Astro, begitu juga dua drama lagi yang dijadualkan disiarkan di stesen sama tidak lama lagi.
“Tetapi pada masa sama hakikatnya saya ada juga membintangi beberapa drama siaran RTM. Saya takkan menolak andai watak yang diajukan memang ‘kena’ dengan saya.
“Cuma apa yang boleh saya katakan, ini semua adalah rezeki. Tidak kira mana-mana pun tawaran, saya tetap pertimbangkan, bukan hanya pilih Astro semata-mata.
“Sebelum ini pun bakat saya dicungkil menerusi pertandingan pencarian bakat Hero Remaja yang juga terbitan stesen berkenaan. Mungkin sebab itu orang sangka saya anak emas Astro,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE