fbpx

Banjir kini semakin sukar dijangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / PUQTRA HAIRRY
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

DUA negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu tiba-tiba dikejutkan dengan fenome­na hujan lebat sehingga menyebabkan banjir di kebanyakan kawasan di negeri itu hujung Februa­ri lalu.

Februari biasanya menjadi bulan yang tenang bagi kedua-dua negeri itu, ketika Monsun Timur Laut sudah berada di penghujung musim.

Di Kelantan, hujan lebat dan angin kencang berlaku di ke­semua 10 daerah selama tiga hari bermula 25 Februari menyebabkan tujuh daerah iaitu Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh dah Tum­pat terjejas banjir.

Banjir yang tidak dijangka itu turut mengakibatkan angka mang­sa yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan mencecah le­bih 8,000.

Rata-rata penduduk di kawasan terjejas terutamanya di Rantau Panjang, Pasir Mas tidak menjangka kejadian banjir boleh berlaku pada hujung Februari.

Rohana Abdullah, 49, yang berniaga di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ketika itu menjangkakan bah besar seperti 2014 akan berulang apabila melihat limpahan air Sungai Golok naik mendadak.

“Sepanjang berniaga di Rantau Panjang sejak 20 tahun lalu, saya tidak pernah berdepan banjir pada bulan Februari. Keadaan yang berlaku minggu lalu amat mengejutkan apabila kebanyakan penduduk di sini langsung tidak bersedia kerana kami baru sahaja menghadapi banjir hujung Disember lalu,” luahnya.

Berdasarkan keadaan banjir di Rantau Panjang misalnya, bah pada bulan Februari baru-baru ini dilihat lebih teruk berban­ding hujung tahun lalu.

Akibatnya, lebih lima buah rumah di Kampung Tersang musnah dihanyutkan arus air.

Keadaan itu tidak berlaku semasa banjir pada Disember lalu apabila mangsa hanya mengalami kerugian melibatkan barangan atau kelengkapan rumah.

Mengulas situa­si banjir baru-baru ini, Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Kelantan (APM) Kelantan, Kap­ten Mohd. Hanif Omar berkata, meskipun tidak menjangka banjir besar baru-baru ini, namun semua anggota APM tetap bersedia ekoran Kelantan masih berada dalam musim Monsun Timur Laut.

Menurutnya, kejadian itu me­rupakan banjir gelombang kelima yang berlaku di Kelantan sepanjang tempoh peralihan monsun.

Ujarnya, bah yang melanda baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa bencana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa di Kelantan sekiranya hujan lebat berterusan berlaku dalam tempoh yang lama.

“Ketika banjir besar minggu lalu, seramai 1,000 anggota dan 100 pegawai telah turun ke lapangan untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa tidak kira di kawasan kampung, bandar atau terpencil.

“APM sentiasa peka dengan maklumat atau ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Kami juga mendapat maklumat bahawa hujan lebat turut melanda kawasan Selatan Thailand dengan cerapan hujan sebanyak 200 mili­meter pada 25 dan 26 Februari lalu.

“Biasanya, cerapan hujan sebanyak 100 milimeter di kawasan itu telah menyebabkan air Sungai Golok melimpah. Apabila jumlahnya berganda, ia turut menjadi penyumbang besar kepada limpahan air sungai,” katanya.

Mohd. Hanif berkata, Februari yang masih berada dalam Monsun Timur Laut bukan lagi menjadi bulan yang boleh dikategorikan sebagai bebas banjir selepas daripada kejadian baru-baru.

Ujarnya, keadaan banjir yang berlaku baru-baru ini boleh dijadikan penunjuk aras untuk semua pihak bersiap sedia.

Menurutnya, sebagai individu yang menyelaras semua aspek operasi banjir, beliau mengakui bahawa keadaan bah yang berlaku baru-baru ini tidak terkawal berbanding Disember lalu.

“Kerosakan harta benda awam dan penduduk terjejas juga lebih banyak berbanding banjir hujung tahun lalu apabila air naik dengan pantas dalam tempoh kurang dua hari,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI