WASHINGTON – Bank Dunia semalam meluluskan pakej tambahan berjumlah AS$849 juta (RM3.54 bilion) untuk menyokong Ukraine yang boleh disalurkan serta-merta dan dikenali sebagai ‘Pembiayaan Pemulihan daripada Kecemasan Ekonomi di Ukraine’ atau ringkasnya FREE Ukraine.
Pada 1 Mac lalu, bank berpangkalan di Washington itu mengumumkan bahawa pihaknya sedang mempersiapkan bantuan kecemasan bernilai AS$3 bilion (RM12.54 bilion) untuk Ukraine dengan AS$350 juta (RM1.46 bilion) akan disalurkan serta-merta.
Ahli lembaga pengarah Bank Dunia memutuskan untuk mengagihkan bantuan yang lebih besar semalam.
“Pakej yang diluluskan oleh ahli lembaga pengarah kami merangkumi pinjaman tambahan berjumlah AS$350 juta beserta jaminan berjumlah AS$139 juta (RM580 juta),” kata Bank Dunia dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, perang selama 12 hari di Ukraine menyebabkan beratus-ratus orang awam terbunuh, manakala ribuan yang lain cedera.
Lebih 1.7 bilion penduduk Ukraine meninggalkan negara itu sejak pencerobohan Rusia bermula pada 24 Februari lepas dengan lebih separuh daripada mereka mencari perlindungan di Poland, demikian menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP