WASHINGTON – Jumlah kematian global akibat Covid-19 kini mencecah enam juta orang dalam tahun ketiga sejak pandemik bermula pada Disember 2019, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Pendedahan angka korban yang semakin meningkat itu memberi gambaran bahawa krisis Covid-19 belum menampakkan tanda-tanda akan berakhir.
Ia juga dilihat sebagai peringatan tragis ketika banyak negara mula menarik balik sekatan Covid-19 termasuk membatalkan pemakaian pelitup muka, membuka semula sempadan dan menamatkan kuarantin.
Pulau-pulau terpencil di rantai Pasifik yang menerapkan pengasingan daripada dunia luar dan penutupan sempadan sejak dua tahun lalu kini bergelut dengan wabak dan kematian pertama didorong oleh penularan varian omicron yang sangat mudah berjangkit.
Hong Kong yang berdepan lonjakan kematian kini melakukan ujian saringan ketiga kepada 7.5 juta penduduknya pada bulan ini berdasarkan strategi sifar Covid-19 yang diamalkan di tanah besar China.
Bagi negara Eropah Timur pula, kadar kematian yang tinggi dicatat terutamanya di Poland, Hungary dan Romania dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, situasi akan bertambah buruk berikutan konflik Rusia-Ukraine yang sedang berlaku.
Lebih sejuta penduduk Ukraine yang merupakan negara dengan liputan vaksinasi lemah berpusu-pusu melarikan diri ke tiga negara tersebut.
Sementara itu, di sebalik kekayaan dan ketersediaan vaksinnya, Amerika Syarikat (AS) sendiri mencatat hampir satu juta kematian akibat Covid-19.
Menurut Profesor Sekolah Perubatan Universiti Nasional Singapura dan Pengerusi bersama Gabungan Imunisasi Asia Pasifik, Tikki Pang, kadar kematian tertinggi di AS dikesan dalam kalangan individu yang tidak divaksin.
“Majoriti besar kematian dan kes teruk adalah dalam segmen populasi yang tidak divaksin dan berisiko tinggi,” tegas Pang.
Dunia mengambil masa tujuh bulan untuk merekodkan sejuta kematian pertama akibat virus itu selepas wabak itu bermula pada awal 2020.
Empat bulan kemudian, sejuta lagi orang telah mati dan satu juta telah meninggal dunia setiap tiga bulan sejak itu sehingga angka kematian mencecah lima juta pada akhir Oktober 2021.
Kini ia telah mencecah enam juta, jumlah yang melebihi gabungan populasi Berlin dan Brussels atau seluruh negeri Maryland, AS. – Agensi