TAWAU – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta semua rakyat di Sabah mengambil suntikan dos penggalak dengan kadar segera dalam usaha pencegahan meminimumkan risiko jangkitan Covid-19 apabila pintu sempadan negara dibuka.
Jelasnya, rakyat Sabah mungkin akan menghadapi risiko jangkitan Covid-19 dengan lebih cepat sekiranya pintu sempadan negara dibuka kelak.
“Hal ini kerana Sabah dijangka akan menerima kemasukan ramai rakyat dari luar terutamanya Indonesia dan Filipina. Kita andaikan kadar vaksinasi rakyat di negara jiran yang berdekatan dengan sempadan Sabah masih kurang ekoran kawasan itu jauh dari ibu kota mereka.
“Walaupun kerajaan akan menetapkan prosedur yang ketat untuk meraka memasuki negara ini khususnya Sabah namun ia masih dianggap berisiko berikutan kita tidak diketahui status vaksinasi setiap individu terbabit,” katanya selepas merasmikan program Mass Cataract Surgery Initiative (MCSI) 2022 di Hospital Tawau semalam.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin menyatakan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan rakyat di Sabah mendapatkan dos penggalak dengan mudah.
“Saya sudah meminta Pengarah Kesihatan Sabah untuk terus membuka banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain mengadakan program jangkauan luar.
“Saya merayu sesiapa yang mempunyai ibu bapa berumur 60 tahun ke atas dan kanak-kanak supaya bawa mereka mengambil suntikan dos penggalak kerana jika dijangkiti Covid-19 ia tidak boleh dianggap selesema biasa serta boleh membawa kemudaratan dalam masa panjang,” katanya. -KOSMO! ONLINE.