JOHOR BAHRU -Sistem penggiliran di semua sekolah rendah boleh ditamatkan pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu peratusan pelajar yang telah divaksinasi mencapai tahap 100 peratus.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya ketika ini tidak meletakkan sasaran berapa ramai pelajar perlu divaksin sebelum sistem penggiliran itu ditamatkan.
Ini kerana katanya, jika Kementerian Pendidikan (KPM) meletakkan sasaran tertentu dan jika ia tidak dapat dicapai, sampai bila-bila pun pelajar terpaksa menjalani sistem penggiliran.
“Kalau kita nak tunggu, kita tak boleh set (tetapkan) peratusan kerana kalau kita tidak capai peratusan tersebut sampai hujung tahun pun kita tak boleh tamatkan (sistem penggiliran).
“Tetapi kita akan lihat persekitaran, kita bincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana vaksin sudah tersedia, hanya menunggu anak-anak divaksinkan,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, kadar vaksinasi bagi pelajar sekolah rendah ketika ini sangat rendah iaitu kira-kira 32.3 peratus berbanding sekolah menengah yang telah melebihi 50 peratus.
Jelas beliau, peranan ibu bapa juga penting dalam memastikan anak-anak mereka divaksin secepat mungkin.
“Apa yang penting bila sampai masa sesuai kita akan kembalikan murid sekolah rendah termasuk sekolah yang muridnya melebihi 600 orang tanpa sistem penggiliran.
“Kita (KPM) akan pastikan anak-anak ini dapat hadir ke sekolah tanpa penggiliran dalam mana negara sedang berpindah ke fasa endemik,”ujarnya.
Sebelum ini, KPM memaklumkan, sekolah rendah yang mempunyai jumlah enrolmen melebihi 600 murid perlu mengadakan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima pada Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023.-KOSMO! ONLINE.