fbpx

‘Sah jasad itu adalah adik saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DI Kampung Pasir Tinggi, Kuala Terengganu inilah mangsa ditembak mati oleh dua lelaki bermotosikal kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan pertikaian berkaitan dadah sebagai motif pembunuhan seorang penganggur yang ditembak mati di tepi jalan di Pasir Tinggi di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, laporan bedah siasat menunjukkan terdapat kesan tembakan pada leher dan badan mangsa berusia 41 tahun.

“Sebelum kejadian, mangsa bertemu dengan dua suspek untuk berbincang di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, mangsa ditemani dua rakannya, namun kedua-dua lelaki tersebut menunggu tidak jauh dari lokasi kejadian,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan rakan mangsa, mereka dikejutkan dengan bunyi letupan dipercayai tembakan sebelum kedua-dua suspek yang menunggang motosikal beredar dari lokasi berkenaan.

Mangsa kemudian dibawa oleh dua rakannya ke Klinik Kesihatan Bukit Payung, Marang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Kita sedang mengesan dua suspek terbabit dan motif sera­ngan masih dalam siasatan, namun tidak menolak ia berkaitan dadah,” katanya.

Sementara itu, abang mang­sa yang dikenali sebagai Mohd. memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan adiknya yang juga bapa kepada lima anak maut dibunuh selepas menerima maklumat pukul 11 pagi kelmarin.

“Saya diminta untuk membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah. Pada mulanya saya sukar percaya, tetapi apabila pengecaman dilakukan, jasad itu adik saya.

“Saya berharap pelakunya dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI