KUALA PERLIS – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi berjaya menahan seorang tekong darat dan tujuh warga Myanmar yang cuba menyeludup masuk ke negara ini menerusi perairan ini pada semalam.
Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 48 tahun itu ditahan dalam Ops Landai di kawasan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kira-kira pukul 5.30 pagi.
Komandernya, Asisten Komisioner Shamsol Kasim berkata, tujuh warga asing terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita terbabit dipercayai baru sahaja tiba di kawasan tersebut dari Thailand.
“Tangkapan dilakukan anggota Unit Risikan Marin (URM) dengan dibantu anggota Unit Risik Kompeni D Batalion 2 Pasukan Gerakan Am Kuala Perlis.
“Pemeriksaan ke atas kesemua warga asing itu mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, anggota sama dengan dibantu pasukan Op Benteng Balai Kuala Perlis kemudian membuat pemeriksaan di sekeliling kawasan berkenaan dan menemui seorang lagi lelaki warga sama yang sedang menunggu di dalam sebuah kenderaan. – KOSMO! ONLINE