BEBERAPA minggu lalu, seluruh dunia gempar dengan tindakan Rusia ke atas negara jirannya, Ukraine yang bukan hanya menjejaskan pasaran saham dan kenaikan harga minyak, bahkan juga industri sukan.
Sejak pengumuman tindakan ketenteraan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, negara tersebut menjadi musuh kepada semua organisasi dunia terutamanya industri sukan.
Malah, badan sukan di seluruh Eropah turut mengambil langkah untuk memboikot dan menggantung segala aktiviti sukan berkaitan dengan Rusia.
Maka, tidak menghairankan Saint Petersburg yang dijadualkan menjadi tuan rumah perlawanan akhir Liga Juara-Juara iaitu di Krestovsky Stadium atau komersial dikenali sebagai Gazprom Arena pada 28 Mei digugurkan.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sebelum itu terpaksa melakukan mesyuarat tergempar sebelum mengesahkan bahawa final Liga Juara-Juara akan diubah ke venue baharu iaitu Stade de France di Paris.
Ironinya, Stadium Krestovsky yang memiliki 68,000 kapasiti di Saint Petersburg merupakan bandar kelahiran Putin malah pernah menjadi venue perlawanan Piala Dunia 2018 dan kejohanan Euro 2020.
Pada masa sama, firma tenaga Rusia Gazprom pula adalah penaja utama bola sepak Eropah termasuk Liga Juara-Juara. Justeru, UEFA menerima tekanan tinggi untuk menamatkan hubungan dan tajaan yang ada dengan firma itu.
Tidak ketinggalan, salah sebuah kelab gergasi Jerman, Schalke 04 turut memutuskan hubungan dengan Gazprom, malah turut mengeluarkan nama penaja tersebut daripada jersi pasukan.
Di England pula, gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United turut menamatkan perjanjian penajaan yang dilakukan skuad The Red Devils dengan syarikat penerbangan Rusia iaitu Penerbangan Aeroflot.
Sementara itu, saingan Formula 1 (F1) bagi Gran Prix (GP) Rusia yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sochi pada 25 September depan telah dibatalkan oleh Persekutuan Autombil Antarabangsa (FIA).
Agak mustahil untuk F1 dianjurkan dalam keadaan semasa di mana negara yang bergolak dengan peperangan dan penganjur tidak membuat sebarang cadangan negara bagi menggantikan Rusia pada kalendar 2022.
Pada masa sama, berlaku tidak kepastian menyelubungi pasukan F1 Haas berhubung pelumba Rusia, Nikita Mazepin dalam perlumbaan F1 ekoran peperangan yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine ketika ini.
Lebih tertekan apabila syarikat dari Rusia, Uralkali yang sepatutnya menjadi penaja utama pasukan Haas musim ini terpaksa digugurkan daripada menyertai pasukan berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Justeru, tiada jaminan oleh mana-mana industri sukan antarabangsa pulih sepenuhnya selagi situasi yang berlaku di Rusia dan Ukraine selain Covid-19. -KOSMO! ONLINE