Platform PKS
CYBERJAYA – Murung selama tiga bulan dan memencilkan diri dari dunia luar bukan suatu perkara mudah yang dihadapi seorang usahawan yang sebelum ini aktif dalam dunia perniagaannya di Selatan tanah air.
Demi kelangsungan perniagaan, Haslinda Mohd. Eunos, 50, terpaksa mengambil kata putus untuk tidak menanggung kerugian berterusan selepas enam bulan mengoperasikan spa dan gimnasium di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru (JB) yang merudum teruk.
Pengambilalihan pengurusan hotel berkenaan telah menyebabkan ramai pelanggan setianya yang terdiri daripada warga Eropah tidak lagi berkunjung ke hotel berkenaan membuatkan jumlah pelanggannya juga semakin berkurangan.
Tidak berfikir panjang setelah tanggungan hutang syarikat mencecah sehingga RM500,000 membuatkan wanita ini menutup kedua-dua operasinya dengan hati yang sangat berat dan sedih bagi mengelakkan nilai hutang terus meningkat.
“Ini adalah realiti yang perlu saya tanggung dan hadapi. Saya rasa down yang amat sangat, sehingga tidak mahu berjumpa dengan orang lain dan berbicara lagi mengenai perniagaan tersebut kerana bukan kerja mudah untuk membangunkan sesuatu perniagaan itu.
“Ketika itu saya cuma habiskan masa bersama keluarga dan suami banyak memberi semangat untuk bangkit semula,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Rezeki ditemukan dengan seorang rakan lama telah membuka jalan untuknya kembali bertapak di dunia perniagaan tetapi dengan asas yang baharu.
Berhijrah ke Cyberjaya adalah langkah sulungnya untuk membuka lembaran baharu seiring anak-anaknya turut berada di sekitar Kuala Lumpur untuk menyambung pelajaran.
Wanita ini mula mengorak langkah dengan memasarkan produk kecantikan dari Korea bersama rakannya dan tiga tahun selepas itu, beliau nekad untuk membangunkan produk sendiri di bawah jenama Nura+.
Nura+ berkonsepkan kecantikan secara holistik yang dimulakan dengan tiga produk iaitu serum wajah, Skean Food iaitu makanan tambahan untuk membantu meningkatkan sistem imunisasi badan sekali gus meningkatkan tahap kesihatan kulit dari dalam.
Produk ketiganya pula adalah minyak pati atau lebih dikenali sebagai Essential Oils.
“Saya lebih suka memiliki produk sendiri kerana ia boleh dihasilkan melalui formulasi sendiri dengan perundingan serta nasihat daripada pakar kecantikan dan juga doktor perubatan untuk pasaran tersendiri yang telah dikenal pasti.
Haslinda dibesarkan dalam keluarga sederhana yang mana arwah ibunya pernah memiliki sebuah butik pengantin di pusat beli-belah Plaza Angsana di JB.
Minat berniaganya turut terserlah sejak di bangku sekolah apabila menjadikan hari kantin sebagai platform berniaga selain menjual peralatan sekolah yang dibelinya di Singapura kepada rakan sekolah.
Tentang duit belanja tidak menjadi masalah besar buat diri anak sulung ini dan minatnya terus dipupuk sehingga dewasa.
Selain bekerja di syarikat korporat, beliau tetap sibuk dengan butik pengantinnya di pusat beli-belah tersebut.
Wanita ini pernah terlibat dalam perniagaan MLM (multi level marketing) menjual produk Zhulian khusus penapis air yang telah melayakkan beliau memenangi hadiah mengerjakan umrah atas kejayaan mencapai sasaran jualan tertinggi.
Pengalaman bernilai selama empat tahun di Zhulian mematangkan usahawan ini seterusnya terlibat dalam bidang pengurusan majlis, pengurusan korporat dan juga hospitaliti termasuk menguruskan sebuah restoran mewah, Tera-Thai Fine Dining di sebuah banglo di Jalan Sultan Abdul Samad, JB.
Air tangan ajaib Haslinda telah berjaya mempopularkan restoran mewah di dalam banglo kolonial itu yang terletak di lokasi yang agak terpencil di JB.
Usahawan ini juga berjaya mempromosikan restoran yang sama milik syarikat berkenaan di sebuah pusat peranginan di Teluk Buih, Air Papan, Mersing.
“Di dua lokasi berkenaan iaitu di resort dan juga restoran, saya turut diberi peluang membuka spa yang menawarkan perkidmatan mengurut tangan dan bahu percuma kepada pelanggan yang membayar bil lebih daripada RM150,” katanya.
Bagi meningkatkan pengalamannya dalam bidang spa, beliau telah mengambil kursus Pengurusan Spa oleh JBiotech pada tahun 2009 bagi melayakkannya menawarkan perkhidmatan profesional kepada pelanggan.
Kejayaan spa Haslinda di banglo itu telah menarik perhatian sebuah hotel untuk menawarkannya membuka cawangan spa baharu di premis berkenaan sekali gus ditawarkan gimnasium untuk dioperasikan bersama.
Inilah tuah dan peluang buat dirinya untuk terlibat dalam satu lagi cabang perniagaan membuatkan beliau teruja menimba pengalaman baharu sekali gus meningkatkan standard dalam pengurusan antarabangsa.
Namun rezekinya tidak berpanjangan di situ kerana terdapat masalah pengambilalihan pengurusan oleh syarikat lain. – KOSMO! ONLINE