PUTRAJAYA – Penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 seperti katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) dilaporkan mencatat melebihi 50 peratus di lima negeri di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan penggunaan melebihi 50 peratus itu dikesan berlaku di Selangor (83 peratus), Putrajaya (83 peratus), Johor (70 peratus), Kelantan (69 peratus) dan Kuala Lumpur (54 peratus).
“Penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus pula melibatkan sebanyak 12 negeri yang didahului oleh Selangor (118 peratus), Putrajaya (106 peratus), Perlis (98 peratus), Kuala Lumpur (92 peratus), Perak (90 peratus), dan Kelantan (88 peratus).
“Turut mencatatkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus adalah Terengganu (78 peratus), Pahang (70 peratus), Johor (66 peratus), Sarawak (64 peratus), Pulau Pinang (58 peratus), dan Sabah (51 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, bagi statistik penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula hanya Melaka mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 63 peratus penggunaan katil direkodkan.- KOSMO! ONLINE