SEREMBAN – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan terus memberikan fokus untuk bersama meningkatkan bidang pertanian dan perladangan di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia termasuk dengan melonjakkan industri komoditi yang sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Tambah beliau, pihak kementerian menerusi Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) turut akan memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pertanian termasuk melahirkan lebih ramai graduan teknikal dalam bidang pertanian.
“UCAM bukan sahaja berperanan hanya memberi ilmu dan latihan malah membuka minda generasi muda hari ini memajukan pendidikan TVET tinggi melalui e-pertanian.
“Menerusinya, anak-anak muda dapat melonjakkan lagi industri komoditi dan menghasilkan lebih banyak produk usahawan pertanian serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.