PETALING JAYA – Segelintir ibu bapa mengambil sikap positif dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan sesi persekolahan pada 21 Mac ini.
Di Ipoh, Perak, seorang pekerja swasta, Nor Haslinda Abdul Rahim, 43, berkata, apa sahaja keputusan kerajaan dianggap sebagai langkah terbaik kerana situasi pandemik sering berubah-ubah.
Katanya, walaupun sukar tetapi dia yang mempunyai tiga anak tahun dua, empat dan enam perlu menyesuaikan jadual persekolahan mereka.
“Memang baik bagi murid darjah enam hadir seperti biasa ke sekolah kerana semasa darjah lima banyak pembelajaran yang terlepas selain anak tidak hadir ke sekolah.
“Walaupun tiada peperiksaan tetapi murid tahun enam memang perlu fokus untuk persediaan melangkah ke sekolah menengah nanti,” ujarnya.
Suri rumah, Mariatul Atika Ahmad Zaini, 37, pula merasa lebih yakin untuk menghantar anak ke sekolah yang sudah menerima vaksin.
Katanya, sesi penggiliran pula wajar diteruskan sebagai langkah kawalan dan pada masa sama pematuhan di sekolah perlu diperkemaskan.
Di Sungai Petani, Kedah, Siti Raihan Ramli, 37, berkata, sudah tiba masanya anak-anak kembali bersekolah seperti biasa, namun ia perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard.
“Anak-anak perlu jalani sesi persekolahan secara bersemuka kerana cara itu lebih mudah untuk mereka faham,” katanya.
Seorang lagi ibu, Nor Dayana Husin, 42, berkata, meskipun masih ada perasaan bimbang berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi ketika ini, namun dia tetap akan menghantar anak-anaknya ke sekolah.
“Sejak pandemik, sesi persekolahan sering bertukar-tukar menyebabkan tumpuan pembelajaran anak-anak terganggu.
“Jadi untuk sesi persekolahan baharu ini biarlah ianya diteruskan secara konsisten selain perlu juga mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan murid-murid,” katanya. -KOSMO! ONLINE