WASHINGTON – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa negara-negara yang memiliki hubungan ekonomi rapat dengan Rusia berkemungkinan mengalami kekurangan atau gangguan bekalan, lapor stesen penyiaran CNN, kelmarin.
“Perang yang berterusan dan sekatan yang berkaitan juga akan memberi kesan teruk kepada ekonomi global,” demikian menurut kenyataan IMF.
Selepas satu mesyuarat diadakan dengan Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, IMF berkata, impak serius dalam sektor ekonomi sedang berlaku di rantau Eropah.
Harga minyak dan gandum telah melonjak sekali gus menambah kesan inflasi daripada pandemik Covid-19 dan gangguan rantaian bekalan global.
“Kejutan harga akan memberi kesan di seluruh dunia, terutamanya kepada isi rumah yang miskin dan bahan api kini merupakan bahagian perbelanjaan yang lebih tinggi.
“Sekiranya konflik meningkat, kerosakan ekonomi akan menjadi lebih dahsyat.”
“Kesan sekatan ke atas Rusia tidak hanya menjejaskan negara itu sahaja tetapi akan merebak ke negara lain juga,” kata IMF.
Organisasi itu juga mengingatkan pihak berkuasa monetari di seluruh dunia untuk memantau dengan teliti kenaikan harga di negara mereka dan dasar harus dilaksanakan untuk melindungi isi rumah yang terdedah dari segi ekonomi.
Dalam pada itu, IMF memaklumkan pihaknya akan membentangkan permohonan dana kecemasan dari Ukraine yang berjumlah AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) kepada lembaga eksekutifnya seawal minggu hadapan. – AGENSI