PETALING JAYA – Beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilaporkan mengalami fenomena banjir kilat sehingga menyebabkan ramai pengguna jalan raya dan orang awam terkandas.
Ia berikutan hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi sehingga berlakunya timbunan sampah sarap serta lumpur yang turut dihanyutkan bersama air banjir.
Keadaan ini menimbulkan rasa panik orang ramai dan rata-rata daripada mereka sempat merakamkan detik-detik cemas tersebut.
Tinjaun Kosmo! di media sosial mendapati antara kawasan yang terjejas adalah di Terowong Tabung Haji, Terowong Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang.
Seorang pengguna di Facebook berkongsi klip video memaparkan seorang individu yang sedang menyelamatkan dirinya dengan memanjat bumbung kereta selepas keretanya nyaris tenggelam.
Dalam perkongsian yang lain, puluhan kenderaan dilihat tenggelam di dalam air banjir terutamanya di Lebuh raya Pantai Baru (NPE) serta beberapa kawasan parkir awam. – KOSMO! ONLINE