PETALING JAYA – Imej gema radar menunjukkan keadaan hujan renyai sedang berlaku di sekitar kawasan pedalaman negeri Pahang dan juga di kebanyakan kawasan di negeri Perak pada ketika ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, hujan di kawasan-kawasan itu dijangka akan reda dalam tempoh satu hingga dua jam dari sekarang.
“Manakala cuaca juga dijangka akan sedikit panas pada waktu tengah hari nanti bagi kawasan-kawasan lain di sekitar semenanjung.
“Bagi negeri Sabah hujan lebat pada pagi ini turut berlaku di sekitar kawasan pantai barat negeri Sabah yang turut melibatkan Labuan dan juga di sekitar pesisiran pantai di Sandakan,” katanya dalam laporan cuaca hari ini.
Manakala untuk negeri Sarawak, hujan dilihat berlaku di hampir kesemua bahagian di negeri berkenaan pagi ini, cuaca yang lembap juga dijangka akan berterusan sehinggalah ke waktu tengah hari nanti.
“Tinjauan cuaca untuk petang nanti pula, dijangkakan hujan dan ribut petir akan berlaku di kebanyakan negeri di sekitar semenanjung pada lewat petang nanti terutamanya di kawasan negeri Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada lewat petang sehingga ke waktu malam nanti.
“Oleh itu, orang ramai di sekitar kawasan-kawasan terbabit dinasihatkan supaya berwaspada berikutan keadaan angin kencang, banjir kilat dan juga kerosakan struktur bangunan yang tidak kukuh boleh berlaku kesan daripada cuaca ribut petir pada lewat petang nanti,” ujarnya.
Sementara itu bagi negeri Sabah katanya, cuaca hujan petang ini dijangka akan berlaku di sekitar kawasan pedalaman.
“Di negeri Sarawak pula, keadaan ribut petir pada lewat petang dijangka akan tertumpu di bahagian-bahagian sebelah pedalaman di sekitar barat negeri berkenaan daripada lewat petang dan juga hingga ke waktu malam.
Selain itu, cuaca hujan lebat turut dijangka akan mula berlaku di sekitar kawasan sebelah timur negeri Sabah bermula keesokan paginya dan keadaan hujan lebat di sekitar kawasan-kawasan bahagian Sandakan dan juga Kudat dijangka akan berterusan untuk sepanjang hari esok. – KOSMO! ONLINE