GURUN – Dua penunggang motosikal maut manakala enam lagi dilaporkan cedera akibat dirempuh sebuah lori di Kilometer (KM) 92.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada petang ini.
Kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu berlaku ketika kesemua mangsa berteduh di bawah jejambat semasa hujan lebat.
Mangsa yang maut ialah, Mohd. Amirul Ismail, 28, dari Anak Bukit, Alor Setar dekat sini dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, dari Taman Seri Marina, Kuala Kedah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Enam lagi mangsa dilaporkan cedera dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala seorang mangsa tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kesemua penunggang motosikal terlibat berteduh dari hujan lebat di bawah jejambat.
“Kedudukan motosikal diletakkan secara dua lapis di lorong kecemasan dengan penunggang berada di sisi motosikal masing-masing.
“Secara tiba-tiba sebuah lori yang bergerak di lorong kiri datang dari arah belakang dan merempuh semua mangsa dan motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, dua penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala dua lagi mangsa masing-masing cedera pada kaki kanan dan dahi.
Katanya, pemandu dan kelindan lori berusia 28 tahun masing-masing berasal dari Kelantan dan Terengganu tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu lori telah ditahan dan ujian saringan awal urin mendapati dia negatif dadah serta bebas alkohol,” ujarnya.
Tambahnya, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat pada esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE.