IPOH – Mahkamah Tinggi membenarkan bekas pengetua sebuah maahad tahfiz di Batu Gajah dibebaskan dengan jaminan RM20,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan kes amang seksual yang dihadapinya.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed turut mengenakan beberapa syarat ke atas Azizul Yahya, 30, termasuk dilarang mendekati mangsa dalam kes itu pada jarak satu kilometer.
Azizul juga dikehendaki menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain melaporkan diri di balai polis berhampiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah setiap bulan.
“Sekiranya pemohon melanggar syarat-syarat tersebut, maka jaminan akan dibatalkan dan dikehendaki ditahan reman semula sehingga perbicaraan kesnya selesai,” kata Abdul Wahab.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fajrul Shihar Abu Samah manakala Azizul diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin.
Mahkamah juga menetapkan kes disebut semula pada 29 April depan. – KOSMO! ONLINE