BURNLEY – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel memuji barisan pemainnya selepas berjaya membelasah Burnley 4-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Turf Moor malam kelmarin.
Dua gol menerusi Kai Havertz selain masing-masing satu gol jaringan Reece James dan Christian Pulisic memastikan The Blues terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat kedudukan teratas liga.
Meskipun menampilkan aksi agak membosankan pada separuh masa pertama, namun Chelsea menunjukkan kebangkitan dalam 45 minit berikutnya, sekali gus berjaya membolosi pintu gol pasukan tuan rumah.
“Gol pertama sangat membantu pasukan untuk melakar kebangkitan. Dalam perlawanan yang sukar seperti ini, jaringan sebegitu mampu untuk menyuntik semangat semua pemain.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi pemain kerana bukan mudah untuk bermain di Turf Moor. Ini membuktikan kami sudah semakin baik pada setiap perlawanan,” kata pengendali dari Jerman itu.
Beliau yang juga bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) bagaimanapun tidak berpuas hati dengan keadaan padang sehingga menyebabkan The Blues sukar untuk menampilkan corak permainan lebih pantas.
“Keadaan permukaan padang sangat kering dan sukar untuk para pemain bermain seperti biasa. Bagaimanapun, saya lega kerana kami dapat bangkit di separuh masa kedua, sekali gus dapat memenangi perlawanan ini,” ujarnya. – AGENSI