RANTAU PANJANG – Sebanyak 18 buah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Parlimen Rantau Panjang dan Pasir Mas mengalami kerosakan teruk akibat musibah banjir pada penghujung Februari lalu.
Pengarah Kemas Kelantan, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, kerosakan itu melibatkan sturuktur bangunan, perabot, bahan pengajaran dan pembelajaran.
Menurutnya, kerugian yang dialami akibat musibah berkenaan dianggarkan berjumlah RM300,000.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 10 buah tabika di Rantau Panjang dan lapan di Pasir Mas telah mengalami kerosakan teruk semasa banjir.
“Kemas Kelantan memberi jaminan sesi pembelajaran pada persekolahan hujung bulan ini tidak akan terganggu meskipun ada premis Tabika mengalami kerosakan teruk,” katanya selepas bergotong-royong membersihkan Tabika Kemas di Kompleks Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Rantau Panjang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hashim memberitahu, kerja-kerja gotong-royong itu dilakukan secara sukarela oleh kakitangan Kemas bagi memastikan premis dapat beroperasi mengikut jadual. – KOSMO! ONLINE