KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas kereta jenis Perodua Viva dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Semambu berhampiran Stesen Minyak Petronas Semambu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa So Ken Luan, 74, dalam perjalanan dari arah Semambu ke arah Beserah di sini.
“Apabila sampai di lokasi kejadian kereta jenis Perodua Viva dipercayai masuk ke laluan bertentangan menyebabkan kemalangan berlaku.
“Akibat kemalangan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan seorang penumpang SUV mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Mohd. Zahari mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital sama.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dengan sedikit selekoh dan semasa kejadian cuaca baik dan permukaan jalan adalah kering,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE