MANCHESTER – Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick percaya, dua pemainnya, Edinson Cavani dan Marcus Rashford mampu membantu mengurangkan beban yang ditanggung Cristiano Ronaldo dalam usaha menjaringkan gol.
Ronaldo hanya berjaya meledak satu gol dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris ketika ini, selain gagal menyudahkan deretan peluang ketika mereka terikat tanpa jaringan menentang Watford.
“Edinson akan kembali menyertai pasukan untuk aksi berikutnya membuatkan kami mempunyai lebih banyak pilihan. Marcus juga akan menjadi pemain yang mampu untuk membantu Ronaldo di hadapan gawang.
“Marcus adalah bakat yang hebat, saya tidak lihat ada alasan mengapa dia tidak mampu melakukannya. Dia memiliki kepantasan, fizikal dan segala yang diperlukan oleh seorang penyerang moden,” kata Rangnick.
Dalam pada itu, mengulas mengenai aksi derbi menentang Manchester City tengah malam ini, Rangnick percaya United perlu menguasai perlawanan sekiranya mahu meraih sesuatu pada aksi berkenaan.
“Ia mengenai pengawalan permainan. Bagaimana kami mampu menghalang mereka daripada bermain dengan cara mereka dan tidak membenarkan mereka menguasai bola tanpa sebarang tekanan kerana itu yang mereka mahukan.
“Kami sedar bahawa kami akan berdepan sebuah pasukan terbaik di dunia. Kami tahu cara mereka bermain bola sepak sebab itu perlawanan itu nanti adalah mengenai disiplin kami di dalam padang.
“Sudah semestinya banyak kerja-kerja bertahan perlu dilakukan, pemain perlukan kepantasan dan berlari bersama bola atau tanpa bola, transisi permainan serta paling penting adalah menyudahkan peluang yang ada,” jelasnya. – AGENSI