KOTA BHARU – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menaik taraf kemudahan tandas di 485 rumah ibadat pelbagai agama termasuk surau, tokong dan kuil di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek yang bermula April tahun lalu bertujuan untuk memastikan pembentungan di rumah-rumah ibadat menggunakan produk cekap air selain pengurusan sistem kumbahan yang lebih teratur dan efisien.
Menurutnya, kira-kira 84 peratus kerja naik taraf dan penambahbaikan telah siap dilaksanakan sehingga Februari lalu manakala baki sebanyak 12 peratus lagi dijangka siap pada Mei depan.
“Setakat ini, 407 projek menerusi tabung dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara itu telah siap dan bakinya masih dalam pembinaan. Kita berharap ia dapat disiapkan dalam jangka masa ditetapkan.
“KASA akan membaiki tandas selain tangki septik, membuka tangki yang lama dan tandas curah di rumah-rumah ibadat yang terlibat,” katanya – KOSMO! ONLINE.