fbpx

Reman dua peniaga cuba rasuah pegawai TNB dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEMPOH reman dua lelaki yang disyaki cuba menawarkan rasuah kepada pegawai TNB bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan tahun lalu dilanjutkan semalam dua hari lagi.-Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Tempoh reman kepada dua peniaga yang disyaki cuba menawarkan rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan tahun lalu dilanjutkan selama dua hari lagi.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 49 dan 50 tahun itu bermula esok sehingga 8 Mac itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar, Mas Azmimin Ahmad di Mahkamah Khas Reman Seremban di sini hari ini.

Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Khairi Abdul Karim.

Sebelum ini, mereka telah dikenakan reman selama enam hari bermula 1 Mac lalu bagi membantu siasatan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang diwakili peguam tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada pukul 10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Difahamkan sejak Ogos 2021 hingga Januari lalu, kedua-dua suspek menawarkan dan memberi wang keseluruhan berjumlah RM75,000 secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan (Negeri Melaka/Johor/Negeri Sembilan).

Ia sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

Kedua-dua suspek sebelum itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada pukul 3.30 petang 28 Februari lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI