JOHOR BAHRU – Debat yang dirancang antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terpaksa dibatalkan selepas dimaklumkan penganjurannya tidak mendapat permit daripada polis.
Perkara itu disahkan Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor, Datuk Ng Keng Heng yang menerima notis bertulis berhubung perkara itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, semalam.
“Sesi debat mengenai isu-isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang akan dibahaskan Ka Siong dan Guan Eng itu dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang hari ini, bertempat di Dewan Persatuan Tiong Hua Johor Bharu.
“Bagaimanapun, sesi debat tersebut tidak mendapat kebenaran pihak polis yang menyenaraikan empat sebab mengapa ianya tidak boleh diadakan, iaitu program berbentuk politik, dibimbangi mengundang keresahan awam, ianya boleh dilakukan di luar tempoh pilihan raya dan tidak melibatkan wakil Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, Ka Siong mencabar Guan Eng untuk berdebat secara terbuka selepas pemimpin DAP itu mendakwa MCA tidak melakukan usaha untuk meningkatkan sektor pendidikan khususnya melibatkan SJKC.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mengeluarkan wang sebanyak RM4,500 untuk menyewa dewan yang dicadangkan untuk debat tersebut diadakan di mana semua persiapan telah dibuat.
Tambah Keng Heng, Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor dukacita dengan arahan pembatalan debat berkenaan namun akan tetap akur dengan arahan polis.
“Kami amat dukacita, namun tiada pilihan selain perlu akur dengan ketetapan pihak polis agar tidak melanggar mana-mana peraturan.
“MCA Johor juga ingin memohon maaf kepada tetamu jemputan dari pertubuhan-pertubuhan Cina, pertubuhan pendidikan Cina dan para pengamal media,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE