PETALING JAYA – Kebanyakan pencarum kini masih mengharapkan pengeluaran RM10,000 secara ‘one-off’ selepas menerima dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak pagi tadi.
Difahamkan, amaun dividen Itu telah mula dikreditkan ke dalam akaun pencarum mulai hari ini.
Menerusi tinjauan Kosmo! di laman sosial, kelihatan rata-rata kebanyakan pencarum meluahkan perasaan gembira serta bersyukur oleh peningkatan dividen yang diterima.
Bagaimanapun, ramai di antara mereka juga yang masih mengharapkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 secara ‘one-off’.
Perkara itu dibangkitkan apabila ramai dipercayai masih terjejas akibat pandemik Covid-19 serta bencana yang menimpa sebahagian rakyat baru-baru ini.
“Alhamdulillah, dividen dah masuk, bagaimana pula dengan RM10,000 ‘one-off’? Luluskanlah permintaan rakyat yang terdesak ini,” luah Selmah Saidin.
“Dividen aku RM10,000, kalau tuntutan i-Ceria dibenarkan masih tidak mengganggu simpanan sedia ada,” kata Alang Terawis.
Selain itu, seorang pengguna yang dikenali sebagai Apex Myra turut merayu agar kerajaan mempertimbangkan pengeluran terbabit.
“Dividen dapat tinggi Alhamdulillah. Tunaikanlah permintaan terakhir rakyat. Kami amat memerlukannya, dengarlah dan luluskan permintaan rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE!